Sexy Pink Heart - Move Sexy Pink Heart - Move

Tuesday, 23 June 2015

GEJALA RASUAH

GEJALA RASUAH

Rasuah dilihat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat Malaysia kini. Ia dilihat sebagai masalah sosial yang semakin hari semakin parah. Setiap hari ada sahaja berita yang melaporkan tentang gejala rasuah ini. Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab iaitu l-risywah. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Dalam al-Quran sendiri telah mendifinisikan perkataan rasuah ini adalah berkaitan dengan sesuatu yang tidak baik dan dilaknat.

Secara amnya, rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah bagi kepentingan dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperolehi kehendaknya itu. Ini bermaksud, kuasa yang telah diberikan kepadanya akan disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri. Mereka juga lebih cenderung bersikap pilih kasih dan bermuka-muka dalam setiap tindakan bagi mengelak daripada perbuatannya di ketahui umum.

Di Malaysia, dari segi undang-undang, segala perkataan yang membawa maksud kepada memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Kes-kes rasuah biasanya membabitkan pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk menentukan atau meluluskan sesuatu perkara. Masalah rasuah di Malaysia sememangnya semakin menjadi-jadi. Banyak kes-kes dilaporkan yang membabitkan rasuah. International Transparency telah mendedahkan indeks persepsi rasuah global pada tahun 2009. Mengikut laporan berkenaan, kedudukan Malaysia adalah ditangga ke 56 berbanding 180 negara. Ini dapat membuktikan betapa parahnya masalah rasuah di negara kita.
Punca penglibatan
Terdapat pelbagai punca yang membolehkan seseorang cenderung untuk melakukan jenayah ini. Antaranya adalah disebabkan oleh individu itu sendiri. Maksudnya, individu yang mempunyai keperibadian yang lemah seperti kurangnya iman dan bersifat meterialistik. Secara logiknya, seseorang itu sememangnya mengetahui bahawa rasuah adalah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi sanggup melakukannya dengan seribu satu alasan peribadi.. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

Selain itu, rasuah ini disebabkan daripada kelemahan kepimpinan dalam sesebuah organisasi. Sesebuah organisasi seharusnya mempunyai pemimpin yang tegas, telus dan adil dalam menjalankankan segala operasi organisasinya. Ini bagi memastikan organisasi dapat menghindari masalah dalaman yang berpunca dari pucuk pimpinan itu sendiri. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lambat dalam menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya gejala rasuah ini

Rasuah juga berpunca daripada sosial dan budaya yang telah diterapkan dalam masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, masyarakat majmuk di Malaysia sering mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Jadi, mereka yang memberi dan menerima rasuah akan merasakan kegiatan mereka adalah sesuatu perkara biasa atau perkara normal di mata masyarakat.

Disamping itu, arus permodenan yang berlaku kini juga menjadi antara penyebab utama gejala rasuah ini semakin berleluasa. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan menyebabkan masyarakat memandang mudah terhadap masalah rasuah ini. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Contohnya adalah kontraktor- kontraktor sanggup melakukan jenayah rasuah ini bagi mendapatkan tender sesuatu projek.
Kesan penyalahgunaan rasuah

Rasuah sememangnya akan mendatangkan banyak masalah. Bukan sahaja terhadap individu yang melakukannya, bahkan kepada masyarakat sekeliling dan lebih parah apabila mula melibatkan negara kita. Kegiatan rasuah boleh melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Pentadbiran sesebuah negara juga boleh menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia boleh menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Akhirnya boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. Contohnya, di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak dapat dikawal lagi.
Langkah_langkah mengatasi

Melihat kepada akibat daripada amalan rasuah ini, langkah-langkah membanteras perlu dilakukan dengan tegas dan konsisten. Semua pihak harus bekerjasama bagi menjayakan langkah pencegahan ini. Antaranya adalah dengan komitment masyarakat. Masyarakat perlu peka terhadap masalah rasuah yang berlaku di negara ini. Masyarakat perlu ada jatidiri yang kuat untuk menghindarkan diri dari melakukan rasuah. Selain itu, Peranan ibubapa dalam didikan agama dan moral tentang keburukan terhadap perlakuan rasuah perlu diterapkan ke dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya gejala rasuah ini tidak wujud dalam generasi akan datang.

Kerajaan juga memperlihatkan kesungguhan untuk membanteras gejala rasuah ini. Kerajaan telah mewujudkan sebuah badan untuk membanteras masalah rasuah ini yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bagi membuat siasatan yang lebih mendalam atau membanteras masalah ini hingga ke akar umbi. Kerajaan juga telah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bagi sesiapa yang terlibat dalam rasuah ini. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara. 

Kesimpulan

Kesimpulannya, masyarakat perlu sedar akan bahaya serangan penyakit sosial yang telah melanda dunia sejak sekian lama ini. Malah penularan penyakit ini dilihat semakin menjadi-jadi dinegara kita. Tanpa sedar, masalah ini boleh menyebabkan negara menjadi huru-hara dan timbul banyak masalah. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama dalam membanteras masalah ini supaya dapat memupuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas. Akhirnya, kita dapat membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

Monday, 22 June 2015

Pengiktirafan harta intelek

Pengiktirafan harta intelek memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi negara. Langkah-langkah yang sesuai perlu diambil untuk mendukung pengiktirafan ini. Jelaskan pernyataan ini.

Harta intelek merupakan hasil aktiviti dan kreativiti minda seseorang melalui disiplin yang ketat. Tanpa kekuatan daya intelektual, tidak akan terhasil suatu ciptaan. Oleh itu, pengiktirafan amat dituntut atas hasil ciptaan intelek ini.

    Pengiktirafan harta intelek akan mewujudkan kesan positif kepada ekonomi negara. Dengan mempatenkan hak cipta, produk-produk tempatan akan dilindungi daripada peniruan. Produk persendirian juga akan mendapat perlindungan. Dengan pengiktirafan, pemilik hak cipta akan mendapat pulangan sewajarnya. Pengiktirafan memberi hak jualan, mewujudkan pasaran kerana jaminan ketulenan daripada pemilik hak cipta asal. Dengan pengiktirafan, keraguan dalam membuat pembelian produk yang tidak menepati piawaian tidak akan berbangkit. Dengan ini membantu merangsang aktiviti ekonomi negara.
                   
    Negara akan dihormati kerana tegas memperjuangkan hak milik seseorang atau sebuah organisasi. Berbanding dengan negara yang mengamalkan peniruan akta hak cipta, negara tersebut dilabelkan tidak menghormati dan melakukan perlanggaran hak orang lain. Sebelum penguatkuasaan akta hak cipta sepenuhnya, Malaysia pernah dilabelkan antara negara yang tidak bertindak tegas terhadap hak cipta oleh Jabatan Negara Amerika. Label ini boleh merosakkan iklim pelaburan di Malaysia.
   
       Kesan positif yang amat jelas dengan pengiktirafan harta intelek adalah untuk menggalakkan penciptaan. Perlindungan hak cipta kepada pengkarya atau pencipta mewujudkan rangsangan untuk terus berkarya kerana ciptaannya mendapat perlindungan daripada peniruan pihak lain yang akhirnya mengambil alih peluang ekonomi daripada hasil ciptaan berkenaan. Pencipta berasa dihargai dan mendapat pengiktirafan atas keupayaan mereka. Perlindungan dan pengiktirafan juga mengangkat nama mereka sebagai pemilik yang membuktikan keupayaan mereka. Hal ini mendorong penghasilan ciptaan dan rekaan-rekaan baharu yang lebih inovatif dan dinamik.
              
         Langkah-langkah perlu diambil bagi mendukung langkah pengiktirafan ini. Memupuk kesedaran rakyat merupakan langkah terbaik agar masyarakat turut terdidik untuk tidak menyokong aktiviti pelanggaran hak cipta. Tarikh 26 April setiap tahun diraikan sebagai Hari Harta Intelek Negara yang juga bersamaan dengan sambutan Hari Harta Intelek Sedunia. Objektif utama sambutan Hari Harta Intelek Negara adalah meningkatkan pengetahuan dan tahap kesedaran masyarakat tentang pentingnya harta intelek dan menghargai sumbangan komuniti harta intelek.

    Penguatkuasaan undang-undang dengan lebih tegas ke atas perlanggaran akta hak cipta dapat mengurangkan kes perlanggaran hak cipta. Penguatkuasaan undang-undang melalui pelbagai akta dapat membantu membendung masalah yang berlaku. Penubuhan Mahkamah Harta Intelek dapat berfungsi menangani kes-kes berkaitan dengan harta intelek. Hukuman dan denda selain bayaran ganti rugi perlu dipertanggungjawabkan kepada pihak yang meniru. Disyorkan agar persetujuan dicapai di peringkat antarabangsa melalui Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), dikenakan tindakan seperti mengeluarkan mereka yang terlibat daripada senarai keutamaan dagangan.
    
        Kesimpulannya, usaha kerajaan memberi pengiktirafan terhadap harta intelek perlu mendapat sokongan semua pihak. Tanpa sokongan masyarakat, usaha menegakkan hak cipta daripada diciplak dan ditiru atau dipatenkan dalam bentuk yang sedikit berbeza tidak akan berkesan.
                    

PENYALAHGUNAAN DADAH

Antara masalah besar negara ialah penyalahgunaan dadah. Kini, dadah sintetik atau dadah buatan semakin mudah didapati. Kesan penyalahgunaannya lebih teruk berbanding dadah jenis syabu dan ganja. Jelaskan kesan tersebut.

Masalah penyalahgunaan dadah merupakan isu besar kepada negara. Masalah ini boleh merencatkan transformasi pembangunan kerajaan. Kemajuan negara boleh terjejas dengan peningkatan kes penyalahgunaan dadah. Kewujudan dadah sintetik telah membawa kepada peningkatan kes berkaitan dengan dadah. Ketagihan dadah jenis ini meninggalkan kesan yang lebih berat.

       Pengambilan dadah sintetik menyebabkan ketagihan yang lebih teruk. Dadah buatan ialah dadah yang tidak tulen, sering dicampurkan dengan bahan lain untuk mencukupkan sukatan. Untuk melepaskan gian, pengambilan dalam dos yang sentiasa meningkat diperlukan kerana sukatan dos itu tidak mencukupi untuk tahap khayal yang diperlukan. Walaupun mencukupi tetapi kesan penagihan akan meningkat apabila daya toleransi badan meningkat terhadap kadar pengambilan. Dengan ini wujud sifat pergantungan.

       Kecenderungan sakit mental dalam masa yang singkat juga kesan akibat ketagihan. Untuk meningkatkan tahap khayal dan rangsangan, pelbagai campuran dimasukkan oleh penagih dan juga pengedar. Pengambilan berterusan memberi kesan kepada saraf badan dan otak. Kemurungan dan keresahan menjadikan dopamina dan serotonin dalam otak berkurang yang akhirnya boleh menyebabkan gangguan kepada saraf mental. Peningkatan kes kecelaruan mental merupakan salah satu masalah negara pada masa ini.

     Kesan penagihan dadah sintetik ini juga boleh membawa kematian dalam usia muda. Bahan untuk menghasilkan dadah sintetik melibatkan bahan yang tidak boleh diterima oleh badan, 'beracun' dan merosakkan. Penurunan selera makan dan berat badan, menjejaskan pembinaan antibodi. Kesan ketagihan jangka panjang boleh menyebabkan tekanan darah tinggi, imunisasi lemah, kegagalan fungsi jantung dan kerosakkan hati. Kematian pada usia muda, kehilangan sumber tenaga kepada negara.

     Kesan pengambilan dadah ini juga akan mewujudkan sifat pergantungan, selera makan dan tidur terganggu apabila gagal mendapat dos yang mencukupi. Berat badan akan menurun, paranoid dan boleh berlaku perlakuan luar jangka. Dalam jangka pangjang membawa risiko yang mewujudkan halusinasi dn kelakuan psikotik. Halusinasi yang menyerang meningkatkan lagi gangguan tidur sehinggakan boleh tidak tidur selama dua minggu.

      Kesan terakhir ialah menjerumus kepada perlakuan ganas. Ketagihan berterusan mewujudkan perlakuan yang dikenali sebagai 'tweaker' atau 'mengidam ice' yang lebih banyak, tetapi gagal mendapat khayal yang 'mencukupi' boleh membawa perlakuan psikotik, ganas dan tidak rasional. Tahap perlakuan psikotik, mewujudkan ancaman dan risiko ke atas ibu bapa sendiri dan mereka yang terdekat merupakan cerminan kepada tahap ketagihan yang teruk. 

      Kesimpulannya, masalah penyalahgunaan dadah merupakan bebanan kepada negara. Oleh itu, peranan ibu bapa, masyarakat dan pelbagai pihak hendaklah digembleng. Apa yang dibimbangi, wujud 'tangan' ghaib dalam permasalahan ini. Kerugian dari segi masa, kos, tenaga, kepakaran, tumpuan pemikiran dan tindakan melibatkan isu ini mesti dirungkai untuk Malaysia yang sejahtera.

USAHA KERAJAAN MEMBANTERAS RASUAH


RASUAH lebih bersifat abstrak dan kerana itu Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) menentang rasuah di bawah Jabatan Perdana Menteri lebih sukar untuk diberi penilaian berbanding lima cabang NKRA yang lain.

Untuk itu, NKRA ini menumpukan perhatian dalam mengubah persepsi umum terhadap agensi penguat kuasa, pemerolehan kerajaan dan hukuman individu berprofil tinggi.
Persepsi rendah didapati membelenggu empat agensi penyelaras dan penguat kuasa iaitu polis, kastam, imigresen dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) yang dianggap paling banyak terlibat dengan rasuah.
Empat agensi itu juga mempunyai jumlah kes rasuah tertinggi di bawah siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan skor tanggapan integriti paling rendah di kalangan orang ramai dan komuniti perniagaan.
Persepsi sama turut dilemparkan terhadap amalan pemerolehan kerajaan sementara individu berprofil tinggi dianggap terlepas hukuman yang banyak kepada ‘ikan bilis’ dan bukannya ‘jerung’.
Bagi mengatasi persepsi itu, NKRA ini mengambil inisiatif mengukuhkan langkah pencegahan rasuah serta penguatkuasaan lebih berkesan terhadap penjawat awam melalui penambahbaikan penyampaian sistem perundangan kes rasuah.
Ia akan dibantu melalui penubuhan ‘unit pematuhan’ di semua badan penyelaras dan agensi penguat kuasa termasuk juga SPRM. Untuk pemerolehan kerajaan, ketirisan dana awam akan dikurangkan melalui penekanan terhadap ketelusan dan kebertanggungjawapan lebih tinggi dalam pemberian dan pelaksaan kontrak, panduan menguruskan surat sokongan dan pendedahan maklumat kontrak kepada umum.
Untuk meningkatkan kembali keyakinan rakyat terhadap agensi penguat kuasa, peluang menyalah guna kuasa di kalangan kakitangan agensi terbabit dikurangkan sementara pendakwaan kes rasuah dipercepatkan supaya selesai dalam tempoh satu tahun.
Inisiatif lain di bawah NKRA ini termasuk hukuman lebih berat untuk pemberi dan penerima rasuah, Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pangkalan data awam memaparkan maklumat pesalah yang disabitkan jenayah rasuah dan Pakatan Integriti (IP) supaya pemerolehan kerajaan bebas aktiviti rasuah.
Usaha juga akan dijalankan untuk mengukuhkan keberkesanan institusi penting seperti Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), Pejabat Ketua Juruaudit dan SPRM melalui peningkatan kebebasan (autonomi).
Antara kejayaan paling menyerlah NKRA ini adalah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 yang digazetkan pada 10 Jun 2010 berkuat kuasa sejak 15 Disember 2010 untuk melindungi identiti pemberi maklumat, imuniti daripada liabiliti sivil atau jenayah serta perlindungan daripada sebarang tindak balas.
Nama 284 pesalah jenayah rasuah turut didedahkan dalam pangkalan data SPRM berbanding sasaran awal 84 pesalah selepas dilancarkan pada 4 Mac 2010, mendedahkan nama, gambar, nombor MyKad dan butiran kes individu yang disabitkan kesalahan bagi mewujudkan stigma terhadap amalan rasuah.
Lebih 3,500 tender dan kontrak kerajaan juga disenarai melalui portal MyProcurement untuk mencerminkan komitmen kerajaan terhadap ketelusan. Kegagalan mencapai sasaran Indeks Persepsi Rasuah pada 2010 dikaitkan dengan tempoh tinjauan dibuat pada 2009 iaitu sebelum beberapa inisiatif NKRA ini dilaksanakan.
Bagaimanapun, Barometer Rasuah Global menunjukkan persepsi rakyat menganggap tindakan kerajaan berkesan dalam menentang rasuah yang jatuh dari 53 peratus pada 2007 kepada 28 peratus pada 2009, kembali melonjak kepada 48 peratus pada tahun lalu.
Selain itu, perbicaraan kes rasuah kini dipercepatkan melalui 14 sesi khas mahkamah dan empat Mahkamah Tinggi khas untuk Rasuah di samping menambah baik Kanun Acara Jenayah (CPC).
Kamera litar tertutup (CCTV) juga digunakan di tempat pemeriksaan ‘panas’ kastam serta imigresen, sementara kakitangan yang memegang jawatan ‘panas’ dipindahkan secara berkala seperti setiap tiga tahun untuk kakitangan kastam.
Maklum balas Jawatankuasa Antarabangsa Penilaian Prestasi (IPR) untuk NKRA memperakui usaha kerajaan menentang gejala rasuah serta meningkatkan kebertanggungjawapan dan ketelusan dengan pujian atas penubuhan SPRM, inisiatif mendedahkan pemerolehan, melindungi pemberi maklumat serta penggunaan IP.
Beberapa langkah tambahan turut dicadangkan seperti mengharamkan surat sokongan, ketua pemeriksa di semua agensi kerajaan melapor terus kepada SPRM dan ketua agensi, serta pendaftaran semua agen (orang tengah) untuk pembida kontrak.
Presiden Transparency Malaysia, Datuk Paul Low turut menyatakan sokongan terhadap inisiatif yang dikemuka kerajaan bagi menentang rasuah dan percaya usaha ini membantu mengubah persepsi rakyat.
“Laporan Barometer Rasuah Global untuk Malaysia tahun lalu menunjukkan perubahan drastik pandangan umum terhadap usaha kerajaan menentang rasuah berbanding tahun sebelumnya.
“Berbanding 28 peratus pada 2009, 48 peratus rakyat Malaysia beranggapan usaha berkesan dalam menentang rasuah pada 2010 iaitu melangkaui sasaran awal 37 peratus,” jelasnya.
Laporan barometer 2010 itu turut menunjukkan penurunan mendadak golongan yang menganggap usaha kerajaan tidak berkesan bagi menentang rasuah dari 67 peratus pada 2009 kepada hanya 20 peratus tahun lalu.
Untuk 2011, beberapa Sasaran Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) baru telah ditetapkan sementara beberapa sasaran lama dimansuhkan berikutan maklumat yang diperoleh kurang memberi kesan kepada NKRA ini.
Antara NKPI baru itu adalah merekodkan IP Kementerian Kewangan dengan ikrar integriti sektor swasta serta tinjauan persepsi tempatan yang mencerminkan Barometer Rasuah Global.